Biografi Salahuddin Al-Ayyubi
Petikan dari Abul Hassan Ali Nadwai
Judul asli : Saviors of Islamic Spirit.
Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa. Pendidikannya
juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan
mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka sebelum ia menguasai Mesir
dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas
kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada
siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan
perangsang memerangi kekufuranhingga ke hari ini.
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai
anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak
menunjukkan satupun tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan.
Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar
pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk
menjadi pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, sultan
Aleppo, ia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah
oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin
bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat
berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa
ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234).
Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi
kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu
menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216).
Pertukaran Hidup Salahuddin al Ayubi
Ketika Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah
telah mempertanggung jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak
mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah
menuliskan dalam catatannya bahwa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi
pemerintah Mesir. Dunia dan kesenangannya telah lenyap dari pandangan matanya.
Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan
dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).
Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara
hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara' dan menjalani hidup yang
lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan
memilih corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia
menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk membina kekuasaan
Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam.
Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah menganugerah kan aku bumi Mesir, aku
yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia memenangkan
perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan
jihad.
Semangat Jihadnya
Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin
telah mencatatkan bahwa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad
menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang
paling digemarinya. Ia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat
pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.
Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan
sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah
perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang
menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang
memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihat melawan
tentera salib ia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang
dan menaikkan semangat tenteranya.
Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak
tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung
medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya
benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh
pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit
membela Islam.
Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor
peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan
beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga senin kerena ia tidak mahu
perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234).
Peperangan Hittin
Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan
tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24
Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah. Dalam peperangan ini Raja
Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald
dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari
Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai
juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole
menceritakan bahwa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang
tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.
Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di
antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala
manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian
telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang
dapat dilihat memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin kepada Islam
Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley
Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa
peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan
diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja
Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang
Raja duduk di dekatnya.
Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah
bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua
kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan
menuntut bela Muhammad saw atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan
memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari
khemah.
Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka
gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya
sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain,
tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang
telah terjadi".
Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi
Muhammad saw. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin
mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas
kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani.
Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada Nabi kamu,
Muhammad, untuk menyelematkan kamu". Ketika ia mendengar berita ini ia telah
berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat
menangkapnya.
*to be continued or click here ( _")http://www.mail-archive.com/keadilan4all@yahoogroups.com/msg00488.html